Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Malaysia, dalam tempoh tidak kurang dari 1000 tahun sejak kerajaan pertama mula-mula didirikan, secara amnya telah mengalami pelbagai perubahan yang menyaksikan seribu satu peristiwa, suka-duka, pahit-manis yang menjadikannya antara salah satu negara yang mempunyai kekayaan dari segi sejarah yang tiada tolok bandingnya. Saya mengambil peluang ini untuk merekodkan sejarah Malaysia dengan pengkhususan kepada sejarah bangsa Melayu itu sendiri yang bermain di sekitar Kepulauan Melayu atau Nusantara.

Menurut pemerhatian saya secara peribadi, bangsa Melayu sendiri telah lupa dan menolak sejarah secara terang-terangan lebih-lebih lagi pada sesebuah penempatan besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan sebagainya. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, hampir kesemua pemuda, anak bangsa Melayu yang saya temui (di mana-mana juga) tidak tahu langsung perihal sejarah atau pun berbangga dengan hasil peninggalan nenek moyang mereka. Mereka-mereka ini lebih selesa dengan acuan barat dari segi hiburan, corak kehidupan dan sebagainya. Saya kira tidak ada salahnya jika kita merujuk kepada barat dalam memilih corak kehidupan atau sudut untuk melihat dan corak pemikiran. Tetapi kesemua itu harus ada batas-batas yang menjaga tata-tertib perilaku, pertuturan di samping berpegang teguh pada asal usul, agama dan pegangan. Sekurang-kurangnya, kita tidak kekok untuk menyampaikan pada sesiapa sahaja bila ditanya suatu hari nanti. Sekurang-kurangnya, kita takkan ditertawakan bangsa lain kerana tidak kenal asal usul bangsa.

Sebagai orang Melayu yang kaya dengan adat, harus dilandaskan pada syarak dan syarak yang berpagarkan Al-Quran, hadis dan sunnah.

Saya hanya mampu tersenyum (tidak mampu berbuat apa-apa) apabila melihat anak-anak bangsa sendiri hanyut dalam era kemodenan dan arus pembangunan yang tidak pernah perlahan atau menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Masa sememangnya tidak akan menunggu kita. Masa tidak pernah jemu untuk berhenti bergerak, walaupun sedetik. Hanya terserah pada kita sendiri. Mahu bergerak mengikut masa dengan acuan yang betul, atau hanya duduk memerhatikan masa yang berlalu tanpa mengambil apa-apa inisiatif atau bentuk pengetahuan buat bekalan di masa hadapan kalau tidak pun untuk disampaikan pada anak-anak cucu.

Blog ‘Sejarah Melayu’ yang sedang anda baca ini bukanlah kesinambungan dari teks Sejarah Melayu atau Sulalatus Al-Salatin karya agung hasil Tun Sri Lanang, tetapi lebih merupakan kompilasi dari peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah dan perkembangan bangsa Melayu selain dari Malaysia yang saya cuba sampaikan dengan bahasa mudah dan dalam bentuk santai. Di dalam laman ini juga terdapat beberapa kisah atau peristiwa yang jarang tercatat atau hampir tidak pernah wujud langsung dalam mana-mana bentuk penulisan sebelum ini tetapi dapat dibuktikan kesahihannya selapas dibuat kajian dari sumber-sumber sahih.

Nah, langit sudah terbuka untuk mendapatkan informasi atau kisah-kisah yang saya kira berharga untuk disampaikan pada generasi selepas kita. Maka, bacalah dengan perlahan supaya faham akan isi kandungan dan sampaikan pada sahabat handai buat jadi pedoman.

Wasalam

Farul Azri
Kuala Lumpur

NOTA: Kisah-kisah ini telah saya kumpulkan selama 29 tahun bergelar manusia dan setelah letih kembara kesetiap pelusuk dunia, hanya semata-mata atas dasar mencari erti Melayu dan Islam yang sebenar…


Farul Azri


Penulis banyak terlibat di dalam bidang pengiklanan di seluruh dunia. Hasil kerja beliau dapat dilihat dari Jepun sehingga menjangkau sejauh benua Amerika dan Eropah. Seorang berbangsa Melayu yang amat bangga dengan sejarah bangsanya sendiri. Yang memuliakan agamanya yang satu iaitu Islam sebagai pegangan zahir dan batin.

Atas dasar cintakan sejarah, penulis juga telah menemui beberapa pakar sejarah dan sering mengadakan diskusi-diskusi bersama beberapa sarjana sajarah dan budaya dari seluruh pelusuk dunia. Penulis juga telah merantau jauh semata-mata bagi mencari apa yang beliau gelar 'Melayu & Islam'...

Kandungan

Arkib


%d bloggers like this: